Sinopsis:
Dia dahagakan manusia... Disebabkan
kecuaian, botol yang mengurung roh jahat, telah jatuh ke dalam sebuah
tasik di sebuah resort percutian. Selepas kejadian itu, resort yang
diuruskan oleh MAWAR itu mula mengalami bermacam-macam kejadian yang
pelik dan mengerikan. Hal ini dirumitkan lagi dengan kedatangan
tetamu-tetamu resort itu yang seolah turut menyimpan rahsia mereka
sendiri. FAUZI yang baru kehilangan isteri dan anak, sampai di resort
itu tanpa sebarang perancangan. Namun, selepas berkenalan dengan Mawar,
timbul persahabatan di antara mereka, sehingga akhirnya, diketahui
tentang masalah tekanan jiwa yang dihadapi Fauzi. Mawar cuba membantu,
dan tidak dapat tidak, timbul bibit percintaan di antara mereka.
Pasangan Ramli dan Ros pula datang bersama anak-anak dengan harapan
untuk bercuti. Namun, dengan gaya sombong dan berlagak, mereka dapati
pakej percutian itu hanya indah khabar dari rupa sahaja. Bagi pasangan
kawan baik, Jennifer dan Alicia pula, kegemaran mereka dalam aktiviti
lasak, membuatkan mereka begitu terpegun dengan keindahan flora dan
fauna di sekitar kawasan itu. Pasangan Roni dan Shiela pula seolah-olah
cuba menjadikan tempat terpencil itu sebagai sarang untuk memadu cinta
terlarang mereka. Walau apapun niat awal mereka, jelmaan Hantu Air di
sekitar kawasan tasik itu bakal menggegarkan segala rancangan percutian
mereka. Seorang demi seorang menjadi mangsa, sehingga akhirnya, mereka
tiada ruang untuk mengetepikan serangan mistik itu. Demi memastikan
kepuasan tetamu, para pekerja di resort itu, antaranya, Kaduk, Ramesh
dan Yassin cuba mengetepikan segala prasangka buruk, dan memastikan
segala keperluan tetamu mereka di situ dipenuhi. Pun begitu, apabila
berulangkali kejadian misteri menimpa, mereka sendiri takut memikirkan
nasib mereka di situ. Hal ini akhirnya memaksa pemilik resort itu untuk
mendapatkan khidmat sepasang bomoh untuk menyelesaikan masalah itu.
Bagaimanapun, bomoh ’celup’ yang tidak mempercayai akan kehadiran Hantu
Air itu, akhirnya menerima penangan hebat selepas melihat sendiri
jelmaan mistik itu. Tanpa sebarang jalan penyelesaian, roh jahat itu
semakin mengganas. Tok Moh, bomoh yang juga merupakan ayah Mawar,
muncul untuk membantu. Bersama para pekerja di situ, mereka merancang
untuk menangkap dan menjahanamkan entiti hitam itu sekaligus. Mereka
menghadapi masalah, apabila roh itu merosakkan semua rancangan awal
mereka. Menyukarkan lagi keadaan, roh jahat itu turut mampu menukar ke
watak-watak lain yang dikenali. Tiada jalan keluar, mereka semua
terpaksa juga berdepan dengan kemelut itu. Sama ada mereka, atau Hantu
Air itu, salah satu pihak bakal terhapus dan dihapuskan sepenuhnya pada
malam kemuncak itu.
Post a Comment